Thursday, October 30, 2008
"CINTA BATU BELAH" MERUNTUM JIWA...
Drama terbaru mengisi slot Lagenda TV3 ‘Cinta Batu Belah’ diadaptasi
dari hikayat lagenda, Batu Belah Batu Bertangkup. Ia menampilkan
barisan pelakon seperti Elly Mazlein (Safiya), Shahrul Kamaludin
(Sufian), Amyza Adnan (Kamariah), Mak Ungku (Naemah), Fezrul Khan (Dr.
Azmi), Wan Elyas (Firkan) Linda Hashim (Natrah), adik Farhana Kisnina
dan adik Haikal.
‘Cinta Batu Belah’ bermula dengan pertemuan antara Safiya dan Sufian
yang menerbitkan bibit percintaan yang mendapat tentangan keluarga
apabila Naemah, ibu Safiyyah, mula memasang angan-angan hendak
menjodohkan Safiyyah dengan Nik Hisyam. Namun, Safiyyah nekad untuk
membelakangkan keluarganya dan menikahi Sufian walaupun natijahnya dia
dibuang keluarga.
Berazam untuk memulakan hidup baru, Safiya tinggal bersama Sufian dan
ibu mertuanya yang sudah uzur di sebuah rumah kecil yang disewa. Sufian
bekerja keras menyara keluarga mereka sementara Safiya terpaksa menjaga
ibu mertuanya yang semakin tenat. Kehadiran cahaya mata pertama mereka,
Natrah, menyerikan rumahtangga mereka. Namun, badai mula melanda
apabila Sufian bertemu kembali dengan Kamariah, rakan sekampung yang
pernah menyimpan perasaan terhadapnya dan membangkitkan perasaan
cemburu di hati Safiah.
Ketika sedang mengandungkan anaknya yang kedua,
Safiya mengidamkan daging rusa dan demi memenuhi permintaan isterinya
itu, Sufian pergi ke hutan untuk memburu rusa. Malangnya, kemalangan
telah berlaku dan menyebabkan Sufian terkorban. Tertekan dengan tragedi
yang menimpa hidupnya, Safiya cuba untuk kembali berbaik dengan Naemah
namun ibunya tetap tidak mahu menerima mereka anak-beranak. Terpaksalah
Safiya mengharungi pelbagai derita dan tohmahan demi menyara kedua
anak-anaknya yang masih kecil itu.
Suatu hari, Safiya membeli sate daging rusa yang
telah ditempah seminggu awal. Dia membawa pulang sate daging rusa
tersebut dan menyuruh Natrah menyimpan secucuk untuknya sementara dia
pergi bersolat. Selesai bersolat, dia dikejutkan oleh jiran dengan
keadaan Opah Uteh yang sesak nafas. Dalam keadaan tergesa-gesa Safiyah
meninggalkan rumah dan sempat berpesan kepada anak-anaknya untuk tidak
menghabiskan makanan tersebut. Sekembalinya di rumah, Safiya terduduk
lesu apabila dikhabarkan oleh Natrah bahawa Fikran begitu tamak
menghabiskan semua sate daging rusa tersebut walaupun telah ditegah.
Sayu mengenangkan sikap anak-anaknya, Safiya terus merajuk dan keluar
dari rumah.
Kisah menyayat hati dan penuh dengan pengajaran ini
berterusan dengan babak-babak yang meruntun perasaan seterusnya.
Kemuncaknya di mana Safiya akhirnya telah tergelincir dan jatuh ke
dalam lombong. Maka tinggallah dua beradik ini dengan penyesalan di
atas sikap mereka sehingga menyebabkan ibu yang dicintai terkorban.
Bagaimanakah kehidupan mereka setelah menjadi yatim piatu dan sebatang
kara tiada tempat untuk bergantung? Mahukan nenek mereka, Naemah
memelihara mereka atau masih adakah insan lain yang sanggup
menghulurkan pertolongan kepada dua adik beradik malang ini?
Saksikan ‘Cinta Batu Belah’ setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang dan jam 8.30 malam di TV9.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment