Wednesday, March 2, 2011

DILEMA GURU SAMBUNG BELAJAR


Ini bukan rungutan, tetapi sebagai luahan hati seorang guru yang sambung belajar. Bukan saya seorang yang mengalami masalah sebegini, tetapi mungkin juga rakan-rakan lain yang senasib dengan saya. Saya terpanggil untuk mencoretkan apa yang terpendam selama ini bukan untuk menghentam mana-mana pihak, tapi wajar kiranya diambil tahu untuk membuka mata sesetengah pihak.

Sudah menjadi lumrah kehidupan untuk berjaya dalam kehidupan. Salah satu cara untuk berjaya bagi seorang guru ialah dengan menyambung pelajaran. Tetapi apa yang berlaku bukan semudah yang disangka. Memiliki segulung ijazah belum tentu dapat memberikan kejayaan yang diimpikan. Bermula dengan seorang guru berkelulusan sijil asas perguruan, dan di tempatkan di negeri di bawah bayu setelah tamat kursus. Walaupun dalam daerah Kuching, terpaksa menaiki motosikal selama setengah jam untuk ke jeti dan dari jeti pula menaiki bot selama 20 minit untuk ke seberang. Dari seberang pula terpaksa berjalan kaki selama 10 minit dengan melalui jalan tikus untuk sampai ke sekolah. Dengan keadaan sekolah yang daif, serba kekurangan, tanpa bekalan elektrik dan tanpa bekalan air membuatkan siapa sahaja akan terkedu sejenak. Dah la tambang bot yang agak mahal. Dengan gaji yang tidak seberapa, sebulan gaji licin bersih. Selama setahun bertahan, permohonan ke sekolah lain diluluskan. Ringan sedikit bebanan. Akibat tuntutan dan peredaran masa, peluang melanjutkan pelajaran ke pringkat ijazah pertama di salah sebuah Universiti diterima. Alhamdulillah… peluang ini dapatlah dijadikan alasan untuk balik ke semenanjung.

Selama 3 tahun menuntut ilmu, dan selama itulah menerima gaji separuh dan dari separuh gaji yang diterima itu terpaksa ditolak itu dan ini… tinggal lagi separuh. Lebih kurang RM300 sebulan. Jumlah itu lah digunakan setiap bulan selama 3 tahun. Kerana terdesak, PTPTN terpaksa dipohon. Akibatnya, terpaksa menanggung hutang sehingga kini. Tamat 3 tahun pengajian, di tempatkan semula di kampung halaman. Syukur... tetapi dalam masa itu jugalah macam-macam hal berlaku disebabkan kesilapan pihak tertentu, gaji penuh yang sepatutnya diterima, terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya. Semuanya kerana buku rekod perkhidmatan. Puas menelefon ke sana sini. Mana nak bayar kereta, nak berkahwin, nak bagi kepada org tua... semuanya itu memberi tekanan. Puas menunggu, akhirnya dapat juga tunggakan kerana lewat dapat gaji penuh... tapi satu sen pun tak sempat merasa. Sebabnya kena potong kesemuanya kerana kena bayar balik gaji terlebih semasa mula-mula masuk belajar. Sakit hati bukan kepalang. Kalau dipotong sedikit demi sedikit tidaklah menjadi hal.

Dipendekkan cerita, dapatlah juga merasa gaji DG41. Kemudian, timbul pula isu perbezaan gaji antara guru yang sambung belajar dengan guru yang tidak sambung belajar. Banyak juga bezanya. Mulalah terasa tertekan kerana sesalan sambung belajar. Dah la buang duit, seniority pun hilang semuanya. Dah jadi macam baru kerja semula. Untuk menyedapkan hati, diamkan diri sahaja kerana sudah malas untuk memikirkannya. Tapi dapat la segulung ijazah yang diidamkan dan ilmu yang dipelajari. Padahal pada hakikatnya terpaksa mennggung kerugian.

Selepas 5 tahun dengan gelaran DG41, terasa pula nak meningkatkan lagi kerjaya. Minat untuk belajar masih ada. Permohonan untuk membuat ijazah lanjutan akhirnya berjaya. 2 tahun berulang alik tinggal anak isteri tercinta demi mencapai cita-cita. Selesai sahaja pengajian selama 2 tahun, debaran mula terasa. Sangkaan untuk berkhidmat di tempat asal meleset. Sekali lagi di tempatkan di sekolah yang jauh dari rumah dan daerah asal. Elok berada di tempat asal dah kena hantar jauh gara-gara sambung belajar. Sekali lagi terasa kecewa akibat sambung belajar. Nak tak nak terpaksa terima walaupun dengan berat hati. Sekali lagi kena tinggalkan anak isteri yang tercinta. Belum lagi memikirkan hal-hal berkaitan dengan keluarga. Mana hak keistimewaan guru yang sambung belajar. Kenapa tidak dikekalkan di sekolah asal, walhal bukannya ramai dalam satu daerah yang sambung belajar. kenapa tidak diberi sedikit keistimewaan kepada guru yang sambung belajar sebagai galakan.

Berbalik kepada cerita sambung belajar. Pengkhususan ni pun satu masalah. Ingatkan ambil pengkhususan yang jarang diambil orang lain dapat memberi satu kelebihan, rupa-rupanya makin payah. Puas buat rayuan di JPN untuk kembali ke daerah asal. Alasan... tiada kekosongan. Ada member yang nak tukar suka sama suka, alasan... berlainan option. Walhal, bila ke sekolah bukan option pun yang diguna. Mengajar ikut keperluan sekolah. Nak mohon jadi pensyarah, kena tunggu DG44 dahulu. Gara-gara sambung belajar ijazah pertama, lewat mendapat DG44. Pilihan akhir kena masuk ke sekolah walaupun option yang diambil tidak ditawarkan di sekolah. Berada di sekolah buat kerja-kerja yang langsung tiada kaitan dengan pengkususan yang diambil. Kena bersabarlah. Beginilah nasib guru... tak sambung belajar terasa ketinggalan. Bila sambung belajar, tiada perubahan yang berlaku pun. Gaji bagi guru-guru yang memiliki sarjana pun tidak berubah... masih di takuk lama. Kena tunggu pengesahan DG44 setahun lagi baru dapat mohon pensyarah, itupun kalau rezeki menyebelahi. Dalam masa setahun ni dah berapa kerugian yang dialami kerana terpaksa bertugas di tempat yang jauh. Kepada pihak berkenaan, tolonglah beri keistimewaan kepada kami yang sambung belajar.

4 comments:

Unknown said...

Tahniah cikgu, halangan2 itu berjaya dilalui untuk mendaptkan ilmu

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

nasib kita serupa..bila dapat 13% n naik dg44 gaji masih lagi di belakang kwn yang x smbg belajar n baru smbg first degree

Teratai atma said...

sabarla cikgu..saya hampir berada dalam situasi yg sama.. sudah peroleh master..tp banyak pula prosedur utk dapat gaji setaraf kelayakan..skrg gaji masih di tahap dg41..

tapi dari awal saya ingatkan diri bukan itu yg saya kejarkan..saya mahu didik diri supaya mencintai ilmu..semoga dgn itu, anak saya dapat mengikut jejak langkah saya, belajar hingga ke peringkat tinggi dan dikelilingi dengan insan yg berilmu..semoga ada berakahnya..amin..